Seseorang anak wajib mentaati dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya, tetapi adakah ia memadai atau terbatas ketika mereka masih hidup sahaja? Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menyentuh atau memerintahkan agar seseorang anak berbakti atau membuat kebajikan terhadap kedua-dua ibu bapanya, dan ia tidak terbatas ketika mereka masih hidup. Terdapat beberapa amalan kebajikan yang boleh disumbangkan oleh seseorang anak kepada kedua-dua ibu bapanya setelah meninggal dunia. 1. Menjelaskan hutang. Islam amat menitikberatkan persoalan memberi, menerima dan membayar semula hutang kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia hingga ke akhirat kelak. Seseorang yang berhutang wajib menjelaskan segala hutangnya, dan sekiranya ia meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan hutangnya maka tanggungjawab untuk membayar hutang tersebut adalah ke atas warisnya. Semua hutang sama ada melibatkan orang perseorangan, pihak bank dan sebagainya hendaklah dibayar tanpa mengi...